Anzalna elak melaram ketika umrah


KUALA LUMPUR: Pelakon Anzalna menyambut baik teguran Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki supaya selebriti tidak berfesyen berlebihan ketika beribadat di Makkah dan Madinah.

Anzalna atau nama penuhnya, Nur Anzalna Md Nasir berkata, bagi dirinya, lebih mudah dan selamat jika dia tidak menggalas tas tangan mewah ketika mengerjakan umrah.

Sebaliknya, kata bintang Dendam Aurora itu, dia lebih selesa menggunakan beg yang dibekalkan agensi umrah.

"Bagus teguran itu, peringatan untuk diri sendiri. Ketika (mengerjakan umrah) itu, hendak bawa keluar telefon pun takut apatah lagi tas tangan.

"Kita bawa beg dibekalkan agensi umrah paling selamat dan senang," katanya yang berkongsi pandangan mengenai itu pada akaun Instagram.

Akhbar Harian Metro (HM) semalam melaporkan teguran Asyraf terhadap selebriti yang dilihat berfesyen secara berlebih-lebihan serta

memperagakan kemewahan ketika menunaikan ibadat di Makkah dan Madinah, agar kembali kepada prinsip Islam yang sebenar.

Asyraf berkata, perbuatan itu yang dimuat naik di laman sosial untuk mendapat banyak 'likes' serta perkongsian, tidak selari dengan ajaran agama.

Menurutnya, Makkah dan Madinah adalah tempat suci untuk umat Islam datang beribadat dan mendekatkan diri kepada Allah.

Sehubungan itu, katanya, elemen yang boleh membawa kepada kesombongan, keangkuhan, riak dan sebagainya akan memusnahkan pahala ibadat.

Sementara itu, Anzalna berkongsi momen indah ketika dia menunaikan umrah pada 2016 selain meluahkan rindu untuk kembali ke Tanah Suci.

"Semalam adalah ulang tahun perkahwinan, teringat pula selepas kahwin, kami merancang berbulan madu, tiba-tiba dijemput ke Makkah dan Madinah.

"Alhamdulillah, rezeki. Hati rasa tenang di sana. Boleh lupa hal dunia dan paling seronok dapat bawa mama, abah dan suami... Rindu pula. Semoga menjadi tetamu Allah tahun ini. Namun, apa yang penting adalah niat," katanya.

Sumber : https://www.bharian.com
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==