Siapa sangka riwayat hidup ratu filem Bollywood bernama Sridevi Kapoor ini terhenti ketika usianya baru menjengah angka 54 tahun. Namun, itulah yang dinamakan ajal dan andai sudah sampai masanya, sesaat pun tidak dipercepat atau diperlambatkan.
Berita kematian Sridevi akibat serangan jantung ketika menghadiri perkahwinan anak saudaranya di Dubai, malam tadi, benar-benar mengejutkan bukan saja ahli keluarganya tetapi juga seluruh peminat aktres tersohor itu di seluruh dunia.
Kehilangannya diratapi dan rata-rata menyifatkan terlalu awal untuk pelakon itu pergi meninggalkan mereka. Melihat foto aktres berkenaan bersama keluarga di laman Instagramnya yang dimuat naik tiga hari lalu, ramai peminat meluahkan perasaan sedih dan terkilan atas kehilangan itu.
Tidak dinafikan, sepanjang hayatnya, pemilik nama lengkap Shree Amma Yanger Ayyapan ini sememangnya sangat disenangi ramai.
Siapa yang boleh lupa si jelita bermata bundar dan memiliki senyuman menawan ini tatkala beraksi di layar perak? Dirinya pernah menjadi igauan ramai, malah filem lakonannya sering pecah panggung membuatkan dirinya layak untuk digelar ikon dalam industri filem Bollywood.
Masih segar dalam ingatan lakonannya dalam filem Nagina (1986) yang menyaksikan beliau membawakan watak wanita ular. Dalam naskhah klasik itu, Sridevi beraksi di sisi seorang lagi bintang legenda, Rishi Kapoor.

Memulakan karier gemilangnya ketika berumur empat tahun menerusi filem Tamil, Thunaivan (1969), Sridevi kemudian terus menjadi pilihan syarikat produksi.
Beliau membintangi lebih daripada 150 filem yang turut dihasilkan dalam pelbagai dialek seperti Hindi, Telugu, Malayalam dan Kannada.
Daripada pelakon kanak-kanak, Sridevi membesar sebagai anak wayang berkaliber. Reputasinya dalam kerjaya sering mendapat pujian ramai kerana bersikap profesional tatkala berada di set penggambaran.
Selain itu, beliau tidak mengambil masa lama untuk memuaskan hati pengarah dan mampu melaksanakan tugas diberikan dengan baik.
Dalam tempoh lima dekad pembabitannya dalam dunia perfileman, Sridevi pernah menerima pelbagai anugerah termasuk Aktres Terbaik Filmfare Award. Selain Nagina, antara filem yang melonjakkan namanya pula ialah Mr India (1987) dan Gumrah (1993).
Selepas muncul dalam filem pecah panggung, Judaai, pada 1997, ibu kepada dua cahaya mata bernama Jahnvi dan Khushi ini mengambil keputusan untuk berehat daripada dunia lakonan kerana lebih tiga dekad beraksi di depan kamera.
Namun, pada 2012, wanita ini membuat kemunculan semula menerusi filem, English Vinglish. Pada 2013, kerajaan India menganugerahkannya dengan Padma Shree, iaitu penghormatan keempat tertinggi untuk orang awam.
Walaupun dilabel sebagai 'superstar' dan ikon perfileman, Sridevi sangat tegas memegang prinsip diri. Beliau tidak suka berkongsi cerita peribadi, terutama membabitkan hubungan rahsianya dengan aktor, Mithun Chakraborty, dan juga khabar mengatakan Boney sanggup meninggalkan isterinya semata-mata mahu berkahwin dengannya.
Seperkara yang sering menjadi bualan mengenai pelakon kelahiran Sivakasi, Madras, ini ialah cita rasanya dalam berfesyen. Beliau pernah terpilih untuk menggayakan busana pereka terkenal di India dan muncul dalam beberapa majalah fesyen terkemuka, termasuk Vogue pada 2013.
Kini, pesona yang ada pada wanita hebat penuh aura itu hanya tinggal kenangan. Industri perfileman Bollywood dirundung awan gelap dengan pemergiannya.
Sumber : https://draft.blogger.com/blogger.g?blogID=4734660222915962995#editor/target=post;postID=7096485110247847763